Ahmad Zahid Nafi Tujuh MP BN Akan Kosongkan Kerusi

KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ura-ura kononnya seramai tujuh ahli Parlimen daripada komponen itu akan mengosongkan kerusi masing-masing, sebagai khabar angin.

Ujar Ahmad Zahid, sedangkan kesemua ahli Parlimen parti tersebut terikat dengan aku janji yang telah ditandatangani sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

“Itu khabar angin dan kita akan lihat bahawa yang paling penting kita tunggu sampai akhir penggal.

“Mereka telah tandatangani aku janji dan dokumen-dokumen itu telah diikrarkan di depan saya. Kalau mahu ambil tindakan yang pada hemat untuk kepentingan diri sendiri eloklah tunggu hingga akhir penggal,” katanya di Majlis Penutupan Madani Ride PDRM & ISBC Sempena Hari Peringatan Hari Polis Ke-216 dan Bulan Kemerdekaan yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Ahmad Zahid juga mengingatkan kesemua WA rakyat perlu menghormati mandat rakyat yang dibuat menerusi pilihan raya dengan menjalankan amanah yang telah diberikan.

“Kalau mahu melakukan tindakan-tindakan politik kita harus melihat mandat dan watikah yang telah diberikan kepada mereka untuk mewakili parti dan bukan untuk diri sendiri,” tambah beliau.

Terlebih dahulu Presiden UMNO itu diminta mengulas dakwaan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam kononnya tujuh ahli Parlimen daripada BN bakal meninggalkan parti itu.

Antara ahli Parlimen yang bakal bertindak demikian masing-masing seorang daripada Pahang, Sabah dan Utara Semenanjung Malaysia, dan selebihnya dari Johor.

BBerkaitan

Latest articles