Ahmad Zahid Maafkan 10 Ahli Parlimen Sokong Muhyiddin

KUALA LUMPUR: “Saya telah memaafkan mereka,” demikian kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengulas mengenai 10 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagaimanapun, Presiden UMNO itu berkata, beliau bersama-sama ahli lembaga disiplin akan terus memantau pendirian 10 ahli parlimen itu, selain menyatakan keyakinan beliau terhadap 10 ahli itu akan terus mendukung Kerajaan Perpaduan. 

Ujar beliau, pemantauan itu juga bertujuan untuk mengenal pasti jika kumpulan 10 ahli parlimen itu terus melakukan gerakan untuk menjatuhkan kerajaan perpaduan. 

“Oleh kerana perkara itu telah berlaku dan kini mereka bersama-sama dengan kerajaan perpaduan dan saya nyatakan bahawa saya telah memaafkan apa yg telah berlaku itu.

“Tetapi saya bersama-sama dengan ahli lembaga disiplin akan terus melakukan pemantauan terhadap pendirian yang ada sekarang dan juga sama ada mereka melakukan sebarang gerakan.

“Tetapi saya yakin mereka akan tetap sama-sama dengan UMNO dan BN dalam mendukung Kerajaan Perpaduan yang ada sekarang,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Gerai KKDW & Lawatan ke gerai Jualan PAU, sempena Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022), di sini, hari ini. 

Semalam, Ahmad Zahid, ketika berucap pada sesi taklimat khas Presiden UMNO yang diadakan secara tertutup sempena Persidangan Agung UMNO 2022 (PAU 2022) di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, mendedahkan 10 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) termasuk daripada UMNO yang menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Perdana Menteri selepas (PRU15).

Menurut sumber pemimpin parti itu,  Ahmad Zahid memperincikan kawasan diwakili Ahli Parlimen berkenaan tanpa menyebut nama mereka, dengan empat daripadanya dari Johor.

Dalam pada itu, jelas Ahmad Zahid, beliau yakin bahawa kesilpan langkah 10 ahli parlimen terbabit disebabkan situasi ketika itu yang tidak menentu. 

“Pendedahan yang saya buat dalam majlis taklimat presiden itu adalah pendedahan tertutup yang saya berkongsi maklumat kerana mereka harus tahu apa yang berlaku di sebalik pembentukan Kerajaan Perpaduan,” jelasnya. 

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata UMNO harus bergerak ke hadapan, justeru itu adalah lebih baik jika kita menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran.

“Oleh kerana kita harus bergerak ke hadapan maka yang terbaik ialah kita menjadikan peristiwa itu sebagai pengajaran, kerana keputusan majlis tertinggi UMNO dan BN bahawa semua gerakan hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ atau satu pasukan,” katanya. 

 

BBerkaitan

Latest articles