Ahmad Zahid: Kombinasi Pemuda UMNO, Orang Lama Akan Terus Kukuhkan Parti

KUALA LUMPUR: Sempena Hari Ulang Tahun ke-74 Pemuda UMNO Malaysia, Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak pemimpin muda sayap itu bergabung tenaga bersama kepimpinan sedia ada untuk terus menggerakkan parti ke depan.

Ini kerana Pemuda UMNO telah meletakkan perjuangan parti sehingga ke hari ini dengan penuh dedikasi, iltizam dan nilai pengorbanan.

Ujar Ahmad Zahid, sebagai salah seorang pemimpin yang datangnya dari sayap itu, beliau memahami bahawa UMNO akan terus bernyala obornya jika dapat digembelingkan kekuatan generasi baharu dan kepimpinan sedia ada.

“Gelora semangat jiwa muda dan hikmah kebijaksanaan orang lama inilah kombinasi ampuh yang akan membangkitkan UMNO sebagai sebuah legasi perjuangan.

“Pemuda mempunyai tanggungjawab besar menyumbangkan idea, mengerahkan tenaga dan mengetengahkan perspektif yang segar serta berganding bahu bersama kepimpinan dalam menghadapi kedinamikan politik citra Malaysia masa kini,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-74 Pemuda UMNO Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid mengajak Pemuda merapatkan saf, meraikan perbezaan pendapat secara bermusyawarah secara kematangan minda.

Beliau mahu sayap parti itu terus fokus ke arah memperkasakan sinergi Pemuda di seluruh negara demi mencapai matlamat yang satu agar UMNO yang dicintai ini kembali bertaut di hati anak-anak muda.

“Kepada pemuda-pemudaku, semoga semangat kebersamaan dan kerja keras terus berkobar. Teruslah berperanan memberikan inspirasi dan solusi.

“Kekallah memainkan peranan dalam memastikan kestabilan politik dan sosial di negara ini. Jadi agen yang menjadi penghubung antara rakyat dan parti keramat ini.

“Selamat menyambut Hari Ulang tahun ke-74 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles