KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti-parti komponen supaya berfikir masak-masak sebelum mengambil keputusan meninggalkan gabungan itu, sambil menegaskan BN tidak akan menerima kembali mana-mana pihak yang memilih untuk keluar.
Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, kenyataan tegas itu dilihat merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan hubungan dalam BN.
Zahid menekankan nilai persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam gabungan berkenaan tidak wajar diketepikan hanya kerana rasa tidak puas hati atau dipengaruhi ‘kemabukan kuasa’.
“Jangan buat keputusan kerana ‘mabuk kuasa’. Kita berkawan lebih 70 tahun. Saya bimbang ada yang akhirnya terperangkap dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung IPF Malaysia di Setia Ecohill, hari ini.
Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa politik bukan medan membuat keputusan ketika emosi menguasai diri.
Sebaliknya, katanya, ia memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.
Pada masa sama, beliau menyindir pihak tertentu yang sebelum ini menjauhkan diri daripada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun selepas kerajaan stabil, mula mendakwa diri mereka dipinggirkan.
Mengulas pertanyaan media mengenai kemungkinan MIC menghantar resolusi untuk keluar BN, Zahid berkata beliau tidak menerima sebarang surat atau resolusi setakat ini dan BN belum membuat keputusan.
Namun, katanya, jika MIC gagal memuktamadkan pendirian, BN akan membuat keputusan berhubung perkara tersebut.
Beliau turut memaklumkan tiada pertemuan diadakan antara kedua-dua pihak selepas Mesyuarat Agung Tahunan MIC ke-79.
Dalam mesyuarat itu, perwakilan MIC meluluskan usul untuk meninggalkan BN dan menyertai Perikatan Nasional, namun keputusan muktamad ditangguhkan sementara menunggu pertimbangan kepimpinan tertinggi parti dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat akan datang.










