Ahmad Samsuri Nafi Tarik Balik Kenyataan Berkenaan Status TCO

KUALA LUMPUR: Kenyataan berhubung kawalan Pejabat Kawalan Perjalanan (TCO) tidak pernah ditarik balik, demikian menurut Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau sekaligus menafikan satu hantaran yang tular di media sosial ketika ini mendakwa beliau mengeluarkan kenyataan susulan berhubung perkara itu.

Setiausaha Akhbarnya, Mohd Nasir Abd Razak berkata, dakwaan itu merupakan satu fitnah jahat yang bertujuan mencemarkan imej dan kredibiliti Ahmad Samsuri sebagai pemimpin negeri.

“Beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan atau ‘posting’ seperti yang telah disiarkan oleh laman media sosial berkenaan.

“Kapsyen yang digunakan juga ternyata satu fitnah dan kami menggesa agar hantaran itu segera ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan di laman sosial rasmi Menteri Besar Terengganu itu hari ini.

Sebelum ini, Ahmad Samsuri mendakwa beliau dilabel sebagai individu di bawah kawalan TCO sejak tahun lalu, menyebabkan pergerakannya dipantau secara ketat oleh pihak tertentu.

Ujarnya, beliau juga perlu melalui prosedur kawalan keselamatan ketat, termasuk semasa berada di sempadan Sabah dan Sarawak serta memerlukan kelulusan khas sebelum dibenarkan melakukan perjalanan ke destinasi tertentu.

Bagaimanapun, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, tiada keperluan untuk meletakkan Ahmad Samsuri dalam Senarai Pekeliling Khas (SPK) kerana beliau bukan seorang penjenayah.

BBerkaitan

Latest articles