Ahmad Samsuri Boleh Pertahan Kemaman, Suatu Hari Nanti Boleh Diangkat Calon PM

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mampu menguatkan kubu PAS di Parlimen Kemaman, menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan diadakan, esok.

Keyakinan itu disuarakan Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris, selain menyifatkan pemilihan Ahmad Samsuri sebagai salah satu langkah strategik yang diambil.

Beliau juga menepis pandangan ramai bahawa PAS, dan Perikatan Nasional (PN) secara amnya telah ketandusan pemimpin berwibawa setelah memilih Ahmad Samsuri sebagai calon.

“Terus kekalkan momentum ini dengan memberi kemenangan besar, kemenangan majoriti lebih 30,000 undi sebagai mesej bahawa rakyat tolak PMX,” katanya.

Ahmad Samsuri akan berdepan calon langsung Barisan Nasional (BN), Raja Mohamed Affandi yang juga bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

PRK berkenaan diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Sementara itu Razali bersetuju dengan pandangan bahawa Ahmad Samsuri adalah pemimpin paling layak untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri di masa akan datang.

“Ini bukan mimpi di siang hari tetapi Tok Li (Razali) nak khabar lebih awal, bahawa PN dan Pas mempunyai pemimpin berwawasan, akhlak terpuji, kompeten dan mesra kepada akar umbi.

“Tok Li selari dengan pandangan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melihat Menteri Besar Terengganu ada kelayakan dan personaliti yang baik sebagai perdana menteri pada masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam satu kempen pada 27 November lalu, Muhyiddin tidak menafikan Ahmad Samsuri adalah calon perdana menteri pada masa depan.

BBerkaitan

Latest articles