Ahmad Samsuri Beri Jaminan 11 Kerusi Diumum PN Adalah ‘Winnable Seats’

​AMPANGAN: Perikatan Nasional (PN) optimis baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diumumkan malam tadi merupakan ‘winnable seat’ (kerusi boleh menang) yang bakal menjadi penentu kepada misi gabungan itu menawan Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri 1 Ogos depan.

​Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kesemua 11 kerusi yang diisytiharkan itu memiliki potensi amat besar untuk menyumbang kemenangan dan membawa gelombang perubahan kepada rakyat.

​”Bagi kita, baki 11 kerusi yang kita tandingi dan umumkan malam ini adalah kerusi-kerusi yang mempunyai potensi sangat tinggi untuk dimenangi. Kita bertanding bukan sekadar untuk mencukupkan syarat, tetapi kita bertanding adalah untuk menang,” katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan (KOMPAS), Kampung Ismail, malam tadi.

​Pengumuman baki 11 calon berkenaan sekali gus melengkapkan keseluruhan pertaruhan 36 kerusi DUN yang bakal ditandingi PN di negeri itu.

Semalam, BN mengumumkan sejumlah 25 kerusi yang ditandingi, terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC.

​Mengulas lanjut mengenai pemilihan 11 DUN tersebut, Ahmad Samsuri menegaskan gabungan itu tidak melihatnya sebagai laluan sukar, sebaliknya sebagai peluang keemasan berdasarkan dinamika politik semasa.

​Beliau turut membandingkan agihan tersebut dengan pihak lawan yang menurutnya banyak bergantung kepada kelebihan kawasan penyandang (incumbent).

​”Sebahagian besar kerusi ditandingi Barisan Nasional (BN) adalah kerusi penyandang kerana bilangan asal mereka sebelum ini lebih banyak.

​”Tetapi bagi PN, 11 kerusi yang kita fokuskan malam ini adalah kerusi yang memiliki potensi kemenangan yang realistik. Dinamik politik kali ini berbeza, dan kami yakin pengundi mahukan perubahan,” jelas beliau.

​​Bagi memastikan misi menawan 11 kerusi winnable ini berjaya, PN menampilkan barisan calon yang memiliki kredibiliti tinggi termasuk tokoh berpengalaman, bekas penjawat awam, serta muka baharu daripada pelbagai latar belakang profesional.

​”Calon-calon kita kali ini bukan sahaja membawa nama parti masing-masing, tetapi mereka bergerak sebagai satu pasukan padu di bawah bendera Perikatan Nasional. Gandingan pengalaman dan tenaga baharu ini adalah formula terbaik kami untuk menawarkan pentadbiran yang lebih bersih dan berintegriti untuk Negeri Sembilan,” tambah beliau.

BBerkaitan

Latest articles