PONTIAN: Sebuah video berdurasi 33 saat yang tular memaparkan Jalur Gemilang dipasang terbalik di sebuah klinik gigi di bandar Pontian, sekali lagi mencetuskan perhatian ramai termasuk pihak berkuasa.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan, menjelaskan bendera itu sudah dibaiki dan insiden berkenaan berpunca daripada kesilapan seorang pekerja wanita di klinik berkenaan.
“Doktor gigi dan pekerja terbabit sudah diambil keterangan oleh polis. Pekerja wanita itu memaklumkan pemasangan terbalik dilakukan tanpa sengaja,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, beliau akan bertemu pihak berkuasa bagi membincangkan perkara itu, selain mengingatkan semua pihak agar bertenang.
“Ini bukan soal perkauman, sebaliknya isu kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme. Pihak berkuasa tentu akan mengambil langkah sewajarnya supaya kejadian sama tidak berulang,” ujarnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Pontian, Superintenden Abd Hamid Abdul Rahaman, berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.
Dalam video tular tersebut, bendera Malaysia dilihat dipasang terbalik di bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik pergigian itu, manakala bendera Johor di sebelahnya dipasang dengan betul.
Beberapa anggota polis dan orang awam turut kelihatan berada di lokasi kejadian.