Ahmad Maslan Ulas Isu GST Di Parlimen Isnin Depan

KUALA LUMPUR: Sedar ramai pihak mula memperkatakan mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini, Kementerian Kewangan memaklumkan ianakan menjawab isu tersebut di Dewan Rakyat pada Isnin depan.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Ahmad Maslan memberitahu pihaknya telah mendapatkan maklum balas tentang GST yang pernah dilaksana pada 1 April 2015 sebelum dimansuhkan pada 2018.

“Saya akan jawab mengenai GST di parlimen pada hari Isnin. Pegawai saya akan membincangkan perkara ini hari ini kerana terdapat beberapa pihak membangkitkan isu GST.

“Semalam saya bertemu dengan Ahli Parlimen kerajaan dan maklum balas mereka mengenai Bajet 2024.

“Dalam penglibatan ini terdapat sebilangan kecil daripada mereka bertanya tentang GST dan saya memberi jaminan bahawa saya akan menjawabnya pada hari Isnin.

“Pada hari Isnin juga saya akan menjawab isu berkaitan kementerian kewangan seperti cukai baharu, GST, pertumbuhan ekonomi dan banyak lagi,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Laporan Pasaran Harta Separuh Pertama Tahun 2023 di Institut Penilai Negara (Inspen), hari ini.

Reaksi Ahmad menyusul selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan memperkenalkan dasar cukai progresif kerana ia tidak bersifat broad-based seperti GST yang memberikan kesan besar terhadap golongan kurang mampu.

Meskipun GST diakui sebagai sistem cukai yang efisien dan telus, namun Anwar berkata kerajaan perlu mengambil kira soal pembasmian miskin tegar, penyelarasan subsidi dan peningkatan taraf hidup masyarakat.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula GST.

Namun dalam masa yang sama kerajaan perlu mengutamakan strategi untuk meluaskan sumber hasil negara termasuk fokus membangunkan Cukai Keuntungan Modal, yang dijadualkan dilaksanakan pada 2024.

BBerkaitan

Latest articles