Ahmad Jawab Usul Tambahan Bukan Usul Haram

KUALA LUMPUR: Usul tambahan mengenai dua jawatan tertinggi parti itu yang tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 bukan usul haram seperti yang didakwa segelintir pihak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau telah meminta nasihat daripada peguam-peguam parti berkaitan perkara itu sebelum ia diluluskan.

“Usul tambahan itu pula bukan usul haram seperti tuduhan. Setelah episod ucapan dan cadangan wakil Negeri Sembilan yang disokong wakil Terengganu, saya telah meminta nasihat peguam-peguam UMNO.

“Mereka menyatakan kaedah usul itu dibolehkan seperti peraturan Persidangan UMNO Perkara 20,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, usul tambahan agar jawatan Presiden UMNO dan timbalannya tidak dipertandingkan pada pemilihan akan datang diluluskan selepas mendapat sokongan oleh hampir kesemua perwakilan yang terlibat.

Namun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya berkata, mana-mana ahli atau pemimpin UMNO boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS) bagi meneliti semula keputusan meluluskan usul tambahan agar dua jawatan tertinggi parti tidak dipertandingkan.

Ini kerana jelas Ismail, terdapat dua pandangan berbeza berhubung kelulusan berkenaan disebabkan ada segelintir mengatakan ia dibolehkan kerana diputuskan dalam PAU, sebagai badan tertinggi dalam parti.

Bagaimanapun katanya, terdapat satu lagi pandangan bahawa jawatan seperti Pengerusi Tetap, Presiden, Timbalan Presiden dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) perlu dipilih setiap tiga tahun.

BBerkaitan

Latest articles