Ahmad Faizal Hilang Sokongan, Perak Bakal Dapat MB Baru

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini, dengan 48 undi menolak usul percaya itu berbanding 10 yang menyokongnya.

Sehubungan itu Adun Chenderiang itu akan berundur daripada jawatannya sebagai menteri besar. 

Usul tersebut dibawa Adun Pengkalan Baru dari Umno, Datuk Abd Manaf Hashim.

Asalnya usul tersebut disenarai untuk dibahaskan selepas pembentangan Belanjawan 2021 Perak.

Bagaimanapun dua usul tergempar yang dibawa ADUN Temenggor, Salbiah Mohamed dan ADUN Pasir Pinji, Howard Lee kepada DUN diterima Speaker Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid.

Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (PH) kemudian memohon agar pengundian dijalankan secara belah bahagi. Ia diterima Mohamad Zahir selepas lebih 10 Adun berdiri untuk menyokongnya.

Dalam ucapan yang disampaikan sejurus selepas keputusan dibacakan, Ahmad Faizal berkata, dia menerima ketetapan yang dibuat Adun Perak.

“I miss you guys sometimes actually, seriously (Sebenarnya kadang-kadang saya rindukan kamu semua, betul,” katanya.

DUN Perak sepatutnya membentangkan Belanjawan Negeri 2021 hari ini oleh Ahmad Faizal.

Namun dengan perkembangan terbaru ini, ia terpaksa ditunda kepada Rabu depan.

Tempoh itu perlu bagi membolehkan speaker dan Ahmad Faizal mengadap Sultan Nazrin Shah bagi menyembah maklum apa yang berlaku dalam DUN hari ini.

Ahmad Faizal juga menjanjikan peralihan kuasa menteri besar akan dijalankan secara lancar.

“Saya berbangga berkhidmat kepada negeri dan menunjung kasih kepada Sultan Perak atas kesempatan menabur bakti kepada baginda,” katanya.

Mohamad Zahir kemudian menangguhkan sidang DUN Perak sehingga ke jam 2 petang pada 9 Dis ini.

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,912FollowersFollow
21,400SubscribersSubscribe

Terkini