Ahli UMNO Diingatkan Berhati-hati Dengan Pembelot

KUALA LUMPUR: Mereka yang kekal setia dengan UMNO telah menyaksikan kerosakan dan kemusnahan yang dibuat oleh golongan pembelot terhadap parti itu.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun sukar untuk diterima oleh parti, namun itulah hakikatnya apabila ada dalam kalangan ahli UMNO terengaruh dengan hasutan pembelot sehingga sanggup bekerjasama dengan musuh demi melihat kejatuhan parti.

“Mereka terpesona dengan janji bulan bintang pembelot yang menawarkan lebih kesenangan andai musuh UMNO diberi undi dalam PRU berkenaan.

“Mereka terperangkap dengan naratif palsu pembelot konon mereka mahu mengalahkan UMNO adalah untuk selamatkan UMNO.

“Namun, penyokong UMNO terbabit menyaksikan sendiri apa yang dilakukan oleh musuh dan si pembelot terhadap parti sejurus memegang kuasa,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Menurut Ahmad Zahid, kemenangan mereka berpunca dari siri penghinaan yang dilemparkan ke atas UMNO dan penyokongnya selepas berjaya memperdayakan segelintirnya.

Bukan itu sahaja, demi memuaskan hati mereka yang belot, Ahmad Zahid berkata dirinya turut didesak supaya membubarkan parti manakala pemimpin yang enggan berpaling tadah serta akur kepada ugutan dan tawaran diasak serta ditekan.

“Tidak cukup dengan itu, mereka mengambil tindakan perundangan dalam usaha untuk mengisytiharkan UMNO sebagai parti yang tidak sah.

“Selepas usaha itu gagal, mereka menggunakan pula kuasa jabatan kerajaan dalam cubaan melemahkan struktur kepimpinan parti kerana bimbangkan kebangkitan UMNO.

“Kini, menjelang PRN Johor tiba-tiba mereka yang belot enggan mengaku mengkhianati UMNO walaupun berkomplot secara rasmi dan sahih dengan musuh pada PRU-14,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, tegas beliau, penyokong UMNO terbabit seterusnya mengitar semula skrip PRU-14 konon mereka mahu menyelamatkan UMNO dengan harapan ada dalam kalangan mereka akan masuk perangkap kali kedua.

“Kali ini mereka silap kerana selepas apa penyokong UMNO terbabit saksikan selepas 9 Mei 2018, mereka kembali meyakini Barisan Nasional (BN) satu-satunya gabungan politik yang benar dan berwibawa.

“Maka, seluruh ahli UMNO ingatilah peribahasa pelanduk melupakan jerat, tetapi jerat tidak melupakan pelanduk dan mereka sedang memasang jerat sekali lagi,” ujarnya.

BBerkaitan

Latest articles