KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini membuat gesaan kepada pihak di dalam parti supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkait titah adendum Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, ini bagi mengelakkan timbulnya subjudia selepas Mahkamah Rayuan pada minggu lalu telah membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri itu untuk membuat semakan arahan menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.
Azalina, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata perkara terpenting adalah berkenaan dengan elemen Mahkamah Rayuan yang menyatakan titah berkenaan sememangnya wujud.
“Pada 13 Januari, Mahkamah Tinggi akan tetapkan tarikh perbicaraan dan saya minta kita semua tak payah buat spekulasi kerana sekarang ini mahkamah memainkan peranan untuk membuat penentuan.
“Kita pun tak nak isu subjudis maknanya bila dah jadi kes mahkamah banyak komen-komen saya rasa pun tak adil bagi semua pihak,” katanya memetik UMNO Online.
Bagaimanapun tegas beliau, elemen kewujudan Titah Adendum tiada kaitan dengan isu kesahan.
“Ini tak ada isu dengan kesahan ini hanya isu tentang kewujudan. Kesahan ialah isu lain iaitu isu undang-undang… tapi ini adalah isu kewujudan dan semua pihak yang terlibat dalam proses ni, saya percaya akan dipanggil oleh mahkamah.
“Jadi, saya nak minta ahli parti biarlah mahkamah membuat keputusan setelah semua fakta diterima oleh mahkamah daripada semua pihak,” katanya.
Pada Isnin, Mahkamah Rayuan membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman bagi suatu perintah untuk memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum.
Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Azizah Nawawi yang bersidang bersama Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dengan majoriti 2-1, membenarkan rayuan Najib, 72, untuk mendapatkan kebenaran tersebut.
Ketika membaca keputusan terbabit, Mohd Firuz berkata, mahkamah memerintahkan supaya kes terbabit diremitkan atau dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan kehakiman ini diputuskan.