KUALA LUMPUR: Saksi Pertuduhan pertama (SP1) yang juga mangsa dalam kes rompakan membabitkan pegawai SPRM mengakui kepada mahkamah di sini, hari ini bahawa dia memiliki aset berbentuk wang tunai berjumlah kira-kira RM1 juta di kediamannya, selain USD10,000 dalam peti besi.
Ahli perniagaan itu, Kun Gao, turut mengakui bahawa dia memiliki kemewahan luar biasa dengan memiliki lima unit rumah di The Ritz-Carlton Residences, Kuala Lumpur dengan harga kira-kira RM20 juta, tiga lagi masing-masing di Mont Kiara dengan anggaran harga RM3 juta.
Gao, memaklumkan demikian ketika prosiding soal balas oleh peguam bela, Azizzul Shariman Mat Yusoff di hadapan hakim, Izralizam Sanusi.
Dia turut mengakui memiliki dua buah kereta mewah iaitu Toyota jenis Alphard dan Mercedes jenis Maybach bernilai lebih RM1 juta.
“Lima unit rumah di Ritz-Carlton dan satu unit di Retail Park dan tiga di Mont Kiara, jadi kamu beli serentak sepanjang kamu di Malaysia atau tidak serentak,” soal Azizzul.
Bagaimanapun, Gao menjawab dia membeli keseluruhan aset rumah itu secara serentak.
Dia turut mengakui bahawa dia tidak perlu menunggu ada duit untuk membeli keseluruhan hartanah tersebut kerana dia mengakui bahawa dirinya kaya.
“…kenapa saya perlu tunggu ada duit baru beli selama ini saya memang ada duit memang kaya,” jawabnya.
Defendan diwakili peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Azizzul Shariman Mat Yusoff dan Ravichandaran Selliah
Pada 13 Disember 2023, dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan seorang bekas pegawai agensi sama, mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen berasingan di sini, atas satu pertuduhan merompak seorang ahli perniagaan warga China, hampir RM1 juta di sebuah residensi mewah.
Muhamad Haffiz Mohd Radzi, 33, Mohd Fahmee Mohamad Nor, 41, dan Azwan Asli, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Izralizam Sanusi dan Siti Aminah Ghazali.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga lelaki itu didakwa melakukan rompakan berkumpulan ke atas harta Kun Gao iaitu wang tunai RM952,690, Yuan 1,225, satu bagasi warna perak dan satu beg jenama Louis Vuitton (LV) warna hitam.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah residensi di Jalan Ampang, di sini, pada jam 12 tengah hari, 10 Disember 2021.
Pendakwaan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat jika disabitkan kesalahan.