Ahli perniagaan trauma diugut dengan samseng oleh usahawan jamu terkenal

KUALA LUMPUR — Seorang ahli perniagaan trauma apabila usahawan wanita yang terkenal dengan produk jamu menghantar samseng untuk “mengutip hutang” yang tidak wujud.

Enggan namanya didedahkan, ahli perniagaan itu berkata, usahawan wanita tersebut turut menggunakan media sosialnya untuk memburukkan nama baiknya dan rakan kongsi berhubung penganjuran sebuah konsert di Sarawak hujung tahun lalu.

“Saya dan rakan kongsi telah menjadi mangsa penipuan oleh segelintir pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dalam penganjuran konsert Borneo SARxIndo. Saya telah ditipu dan penceritaan oleh usahawan wanita tersebut bukanlah perkara sebenarnya yang terjadi”

“Kami telah diperdaya untuk melabur dalam konsert Borneo SARxIndo dengan janji dan jaminan pulangan 20 peratus keuntungan.”

“Berdasarkan janji dan jaminan tersebut, kami telah memindahkan wang untuk tujuan pembiayaan awalan konsert tersebut. Konsert tersebut telah dijalankan tanpa satu sen pun keuntungan. Saya hanya mengalami kerugian besar yang hampir mencecah RM 1 juta ringgit.”

“Pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini tidak perlu dinamakan di sini kerana sememangnya terlibat bersama perniagaan usahawan wanita berkenaan dan suaminya,” katanya yang turut mendedahkan usahawan wanita itu adalah anak kepada seorang pelakon veteran.”

Mengulas lanjut ahli perniagaan itu berkata dia telah mengambil tindakan undang-undang bagi menyelesaikan perkara itu.

Katanya, segala pengurusan bertulis baik kontrak, dokumen dan apa-apa rujukan berkaitan akan dibawa ke Mahkamah bagi memberi penjelasan tentang kesahihan transaksi-transaksi yang telah dibuat.

Bagaimanapun, usahawan wanita berkenaan tidak mahu menyelesaikan melalui proses undang-undang.

“Mereka juga telah membuat representasi palsu bahawa konsert tersebut akan menerima jumlah yang besar daripada suatu Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan negeri, tetapi hanya sebahagian kecil yang diluluskan. Mereka juga telah mewujudkan suatu premis menggunakan alamat palsu sebagai cawangan pejabat perniagaan ahli perniagaan itu.”

“Maklumat sebenar mengenai jumlah dana yang diluluskan hanya didedahkan kepada kami sebulan kemudian.”

“Saya dan keluarga mengalami trauma kerana menjadi mangsa buli siber beliau. Malah, kami juga gagal dapatkan projek baru kerana reputasi telah dicalar oleh mereka,” katanya lagi.

BBerkaitan

Latest articles