Ahli perniagaan serah dokumen berkaitan ‘dana judi’ PN kepada SPRM

Seorang ahli perniagaan telah menyerahkan dokuman yang didakwa mengandungi bukti kaitan antara PN dengan syarikat perjudian, kepada SPRM.
Ia beberapa hari selepas kerajaan berkata SPRM belum membuka kertas siasatan berhubung dakwaan itu ekoran kekurangan bukti.

Ahli perniagaan bernama Rashdan Yusof itu ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya hari ini dan dilaporkan disoal siasat selama kira-kira tiga jam.

“Maklumat yang saya ada disokong oleh dokumen tertentu. Saya serahkan kepada SPRM untuk menyiasat perkara itu,” katanya seperti dipetik Free Malaysia Today.

Rashdan, 52, menafikan ada kaitan dengan mana-mana parti politik atau NGO.

Pada Disember lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim membayangkan sebahagian dana yang digunakan PN dalam PRU15 adalah daripada syarikat perjudian yang terlibat dengan cabutan khas judi.

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said menerusi jawapan parlimen berkata SPRM tidak membuka kertas siasatan berkenaan dakwaan itu kerana maklumat yang ada “terlalu umum” dan tiada pihak yang boleh mengesahkannya.

Ia menyebabkan beberapa pemimpin PN mengecam Anwar, mendakwanya sebagai berbohong. Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula berkata dia menimbang untuk memfailkan saman terhadap Anwar.

Anwar bagaimanapun bertegas dia tidak akan membuat dakwaan itu jika ia tidak berasas.

BBerkaitan

Latest articles