Ahli Perniagaan Dipenjara 6 Tahun 10 Bulan, Denda RM22,000 Kerana Pukul Pengawal Peribadi Berpuasa

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam tahun 10 bulan serta denda RM22,000 terhadap seorang ahli perniagaan, Chung Chee Yang, selepas didapati bersalah menghina, mencederakan, dan mengugut pengawal peribadi kerana berpuasa pada tahun 2021.

Majistret Siti Zubaidah Mahat turut memerintahkan hukuman penjara tambahan selama 21 bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Permohonan Chung untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi juga ditolak.

Hukuman dijatuhkan mengikut Seksyen 506 (Mengugut) iaitu penjara lima tahun dan denda RM10,000, Seksyen 298 (Mengeluarkan perkataan melukakan agama Islam) iaitu Penjara setahun dan denda RM10,000 dan Seksyen 323 (Menyebabkan kecederaan) dengan Penjara 10 bulan dan denda RM2,000.

Siti Zubaidah memutuskan bahawa semua hukuman penjara dijalankan secara berasingan.

Pada 22 April 2021, Chung mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli dengan mengugut mahu mencederakan mangsa menggunakan pistol.

Kesalahan itu dilakukan di luar halaman sebuah rumah di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam pada 13 April 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Selain itu, dia juga didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan bersama Seksyen 324 kanun yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, sebatan, atau mana-mana dua hukuman jika didapati bersalah.

Chung turut menghadapi pertuduhan mengeluarkan perkataan berkaitan puasa dan Allah yang boleh didengar oleh seorang individu bernama Ahmad Shamsuri, dengan niat melukakan perasaan keagamaannya.

BBerkaitan

Latest articles