KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu terdapat jelas perbezaan jumlah wang yang dikembalikan kepada Saksi Pendakwaan Pertama (SP1), Kun Gao, berbanding jumlah asal yang dinyatakan dalam laporan polis.
Peguam Azizzul Shariman mendakwa Gao yang juga seorang Ahli Perniagaan China, tidak memaklumkan perbezaan jumlah tersebut kepada mahkamah dan pihak polis.
Beliau mendakwa Gao berniat untuk memiliki keseluruhan wang itu serta memperdaya mahkamah demi kepentingan peribadi.
Dalam laporan polis terdahulu, Gao mendakwa wang berjumlah RM700,000 telah diambil oleh Orang Kena Tuduh (OKT) ketika serbuan dilakukan. Namun, ketika memberi keterangan di mahkamah, beliau menukar jumlah tersebut kepada RM952,960 setelah pihak polis memulangkan wang itu kepadanya.
Pertikaian Kesahihan Wang Dikembalikan
Peguam Tan Sri Dzulkifli Ahmad pula mempersoalkan keupayaan Gao untuk mengesahkan sama ada wang yang dikembalikan kepadanya adalah wang yang sama diambil oleh OKT.
Menurut Dzulkifli, Gao tidak mempunyai senarai nombor siri wang kertas yang diambil atau dipulangkan, sekaligus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan tuntutannya.
Dzulkifli turut mendakwa terdapat perbezaan dalam bentuk ikatan (bundle) wang yang dikembalikan oleh pihak polis kepada Gao dengan wang yang kemudian diserahkan kepada mahkamah sebagai bahan bukti.
Gao mengakui bahawa selepas menerima wang tersebut, beliau melakukan pengiraan semula di rumah dan mendapati terdapat perbezaan dalam jumlah wang yang sepatutnya berada dalam setiap ikatan.
Sepanjang perbicaraan, peguam pembelaan berulang kali menuduh Gao memberikan keterangan yang berubah-ubah dan tidak selari dengan bukti yang dikemukakan.
Pagi tadi, Gao telah mengemukakan semula wang bernilai RM952,960 kepada mahkamah untuk proses pengiraan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi akan bersambung esok dengan saksi baharu dijangka tampil memberi keterangan.