KUALA LUMPUR: Tindakan penggantungan, termasuk pembatalan keahlian akan dikenakan kepada mana-mana ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang didapati menyertai badan bukan kerajaan (NGO), Muafakat Nasional.
Hal itu ditegaskan Presidennya, Datuk Larry Sng menerusi satu hantaran di Facebook.
Untuk rekod, pemecatan bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin kelmarin disebabkan menyertai NGO diasaskan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa, pada 14 Disember lalu.
Sng berkata, partinya menyokong kerajaan perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegasnya lagi, PBM merupakan parti yang sejajar dengan komponen parti lain membentuk kerajaan hari ini dan ia perlu difahami penuh ahli parti.
“Parti berkenaan (yang membentuk kerajaan hari ini) merupakan sekutu baharu PBM dan kedudukan kerajaan merupakan hala tuju parti,” katanya.
Ahli Parlimen Julau itu, berkata parti akan memberi tumpuan mempertahankan kerusi Parlimen dan tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor (Sementa dan Lembah Jaya) dan di Sabah (Segama) dengan parti akan mengadakan kerjasama dengan sekutu memeterai pakatan pilihan raya.
Parti juga akan meneroka idea menyertai gabungan selepas enam bulan.
L“Walaubagaimanapun, perbincangan sedang berjalan.”
Sng berkata, beliau akan menjelajah ke seluruh negara pada Januari untuk bertemu dengan pemimpin parti bagi berbincang dan menjelaskan hala tuju parti, selain melantik ketua parti negeri tertentu.
“Kita akan memupuk pemimpin baharu dalam kalangan ahli. Mereka yang tidak gembira untuk kekal, dialu-alukan untuk keluar.”
Kelmarin, PBM memecat Zuraida dan 10 yang lain selepas gagal memberi maklum balas terhadap surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, awal bulan ini.
Pemecatan itu susulan pertikaian antara Sng dan 11 Ahli Majlis Tertinggi yang digantung keahlian pada Oktober kerana didakwa tidak berdisiplin.