Ahli Parlimen Yang Menyokong Ismail Sabri Dijangka Menghadap Agong Esok

AHLI Parlimen Bera yang juga Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dikatakan mendapat sokongan majoriti 114 Ahli Parlimen untuk dinobatkan sebagai Perdana Menteri Kesembilan.

Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa Ahli Parlimen Umno dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong esok.

Terdahulu tular tangkap layar mesej WhatsApp yang dipercayai daripada Setiausaha Agung Umno itu memaklumkan semua Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) akan ke Istana Negara pagi esok.

Kandungan mesej berkenaan turut mengatakan hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sokongan sekali lagi.

“Hanya kumpulan yang menang sahaja dijemput untuk pengesahan sekali lagi di Istana Negara. Bererti DS Ismail Sabri dengan izin Allah adalah calon PM yang menang.

“Ini tentu juga berkat kesepaduan bersama, diketuai oleh Presiden Umno, Timbalan Presiden, Datuk Seri Najib, Ahli-Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan semua MP kita. Moga Allah memberkati perjuangan mulia untuk rakyat ini,” menurut kandungan mesej yang tular itu.

Kesemua Ahli Parlimen Umno dan BN difahamkan akan bergerak dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) ke Istana Negara bermula 10 pagi esok dengan menaiki bas.

Sementara itu, menurut sumber Ahli-Ahli Parlimen yang akan Menghadap esok dipecahkan kepada 5 kumpulan dan perjumpaan pertama akan bermula sekitar jam 10 pagi.

Ianya akan dimulakan dengan Ahli Parlimen dari GPS dan dijangka Tan Sri Mahiaddin akan menghadap sekitar jam 11.30 pagi.

Kumpulan terakhir akan menghadap adalah pada jam 4.30 petang dimana kumpulan Ahli Parlimen Pas akan masuk sementara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan menghadap pada jam 2 petang.

Latest articles

Related articles

spot_img