Ahli Parlimen Baling Nafi Audio Tular Tuduh Anwar Ejen Israel

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad menafikan pernah mengeluarkan kenyataan mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel seperti mana yang ditularkan.

Beliau memohon semua pihak agar menyiasat terlebih dahulu sebelum mudah mempercayai apa-apa berita atau maklumat.

“Kesan penyebaran video dengan suara latar seorang wanita itu membuatkan ada yang mempercayainya walaupun jelas ia bukanlah kenyataan atau suara milik saya.

“Justeru saya menafikan sekeras-kerasnya sebarang kenyataan seperti mana didakwa dan ditularkan dalam video berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hassan, video yang menggunakan gambar beliau sebagai latar belakang telah mengaitkan Anwar dengan Israel dikesan tular sejak 27 November lalu.

Media semalam melaporkan pihak polis telah menerima laporan berhubung kenyataan yang dikaitkan dengan Ahli Parlimen Baling itu terhadap Perdana Menteri sebagai ejen Israel.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Noorsiah Saaduddin, berkata, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

Katanya, kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 504, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, Anwar turut dilaporkan telah menghantar surat tuntutan kepada Hassan dan memberi tempoh tiga hari supaya menarik balik dengan serta-merta kenyataan dan audio fitnah mengaitkan pelantikannya dengan pengaruh Israel.

BBerkaitan

Latest articles