Ahli MPT, Adun Selangor Antara 282 Ahli PPBM Yang Terhenti Serta Merta

PPBM mengumumkan keahlian 282 ahlinya di seluruh negara terhenti serta-merta kerana melanggar Fasal 10.2- Fasal 10.2.2, 10.2.3, dan 10.2.4 perlembagaan parti.

Akhbar Berita Harian hari ini menyiarkan notis pemberitahuan itu yang disahkan Setiausaha Kerja PPBM, Muhammad Suhaimi Yahya bertarikh 14 Ogos.

Beberapa Adun dari Selangor turut disenaraikan dalam notis itu, antaranya Adun Batang Kali, Harumaini Omar, Adun Jeram, Shaid Rosli dan Adun Kuang, Sallehuddin Amiruddin.

Beberapa pemimpin lain yang lantang membantah tindakan PPBM membentuk kerajaan Perikatan Nasional turut berada dalam senarai itu, antaranya ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi dan Ulya Aqamah Husamudin yang keluar parti Ahad lalu

Bekas setiausaha politik Dr Mahathir Mohamad, Abu Bakar Yahya turut dilucutkan keahliannya serta-merta.

Sementara itu, Shaid berkata, jumlah ahli PPBM yang keluar parti lebih ramai daripada senarai ahli yang diberhentikan keahlian oleh parti itu.

Beliau mendakwa lebih 50,000 ahli PPBM sudah meninggalkan parti itu.

“Sebenarnya bukan 282 ahli saja yang dilucutkan keahlian, satu bahagian saja lebih 300 hingga 500 orang sudah keluar dari PPBM. Contohnya, di Kuala Selangor sendiri yang sudah keluar parti lebih daripada 500 orang buat masa ini.

“Selebihnya, mereka tunggu masa untuk isi borang keluar parti. Soal hendak pecat atau keahlian terlucut serta-merta ini tidak wujud kerana ramai di antaranya sudah berhenti awal sebelum dipecat akibat hilang kepercayaan kepada kepimpinan parti.”

Komen

Berkaitan

Media Sosial

19,954FansLike
3,790FollowersFollow
20,800SubscribersSubscribe

Terkini