Ahli Dewan Negara Tidak Tertakluk Dengan RUU Anti Lompat Parti

KUALA LUMPUR: Peruntukan larangan bertukar parti melalui Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 tidak terpakai kepada Ahli Dewan Negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri ketika membentangkan rang undang-undang itu di Dewan Negara hari ini berkata perkara itu dipersetujui oleh Jawatankuasa Pilihan Khas setelah mempertimbangkan beberapa pandangan.

“Ini kerana Ahli Dewan Negara dibahagikan kepada dua kategori iaitu Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Dewan Negara yang dipilih oleh Negeri berdasarkan keahlian sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili parti politik masing-masing.

“Oleh yang demikian, peruntukan larangan bertukar parti pada peringkat ini tidak terpakai ke atas Ahli Dewan Negara mengambil kira beberapa aspek penting isu perundangan ini di peringkat negeri selain memerlukan perundingan dan perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Ahli Dewan Negara yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

“Ahli Dewan Negara dan semua pihak yang berkepentingan sewajarnya diperjelaskan melalui sesi libat urus terlebih dahulu sebelum pindaan Perlembagaan berkaitan pindah parti yang melibatkan Ahli Dewan Negara. Jadi kita akan bincang dengan Ahli Dewan Negara,” katanya.

Latest articles

Related articles

spot_img