Ahli Bersatu Boleh Sertai Himpunan Solidariti Najib

KUALA LUMPUR: Tiada halangan untuk mana-mana pemimpin dan ahli-ahli Bersatu untuk menyertai himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ yang dianjurkan PAS pada 6 Jan depan.

Jelas Ketua Wanita Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, himpunan itu selaras dengan prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya rasa pucuk pimpinan terbuka siapa sahaja yang nak sertai (himpunan) solidariti untuk Najib bersama PAS.

“Pemimpin Bersatu tidak keluar arahan khusus bahawa ahli serta penyokong Bersatu dilarang menyertainya,” katanya memetik FMT.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Perlembagaan menetapkan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa-kuasa mutlak tertentu yang tidak boleh dipersoal.

“Jika titah addendum itu benar-benar wujud, ia perlu dijunjung dan dilaksanakan oleh perdana menteri dan kerajaan kerana ini juga sebahagian proses perundangan negara kita yang telah termaktub sekian lama.

“(Bersatu juga) menjunjung titah addendum atas prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan,” katanya menambah, proses perundangan negara perlu dihormati.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu berkata, beliau juga mungkin akan menghadiri himpunan tersebut bersama pemimpin Bersatu lain.

“Saya yakin akan ada pemimpin Bersatu yang hadiri himpunan itu nanti, saya sendiri tidak menolak kemungkinan akan turun bersama untuk bersolidariti,” katanya.

Dilaporkan semalam bahawa PAS akan mengadakan himpunan solidariti itu di Istana Kehakiman, Putrajaya, pada hari Mahkamah Rayuan mendengar rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan oleh Agong terdahulu.

Dalam surat yang dikeluarkan bertarikh 28 Dis, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menggesa ahli parti itu menghadiri perhimpunan itu ‘demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani tentang keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat’.

Mahkamah Tinggi sebelum ini menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan titah addendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

BBerkaitan

Latest articles