“Ahlan Wasahlan” – Yang Kalah Pemilihan PKR Boleh Sertai PN, Kata Pemimpin PAS

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk menerima mana-mana ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tidak berpuas hati dengan sistem pemilihan dalaman parti itu.

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau menyedari wujud pelbagai rungutan dan kritikan terbuka mengenai proses pemilihan yang sedang berlangsung dalam PKR.

“Saya banyak membaca keluhan sahabat-sahabat dari PKR yang kecewa dengan sistem pemilihan dalaman parti. Pelbagai keluhan dan kritikan yang tak perlu saya nyatakan kerana sebahagiannya dilontar secara terbuka.

“Saya ingin katakan, jika sahabat-sahabat yang ada dalam PKR merasakan situasi yang teruk dan sudah tidak boleh dibaiki lagi, pintu PN sentiasa terbuka… selamat datang, ahlan wasahlan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Sementara itu, satu mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR yang dijadualkan berlangsung Rabu ini dijangka membincangkan dakwaan penyelewengan yang membayangi pemilihan parti tersebut.

Antara isu utama yang dibangkitkan adalah situasi aneh apabila kumpulan tertentu memenangi semua jawatan peringkat cabang, namun calon ketua cabang mereka tewas didakwa satu trend yang disebut sebagai fenomena ‘badan tanpa kepala’.

Trend ini mencetuskan persoalan sama ada wujud masalah teknikal dalam sistem pemilihan baharu yang diguna pakai atau faktor lain yang memerlukan penjelasan.

Di Selangor sahaja, beberapa nama besar dilaporkan tewas dalam pemilihan termasuk Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat; dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung.

Turut mencuri tumpuan ialah kekalahan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Cabang Setiawangsa kepada tokoh seni dan calon popular, Datuk Afdlin Shauki.

BBerkaitan

Latest articles