KUALA LUMPUR: Polis Selangor mengesahkan Ah Boy, penjenayah yang ditembak mati di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang pada Selasa lalu, bertindak secara sendirian dalam melakukan jenayah tanpa mempunyai kumpulan atau rakan sejenayah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki berusia 35 tahun itu telah menjalankan kegiatan samun, rompakan dan kecurian secara solo sejak dua tahun lalu bagi memenuhi keperluan peribadinya.
“Bila habis (hasil rompakan), dia buat lagi. Itu sudah menjadi tabiatnya dalam setahun dua ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Menurut Hussein, sebelum ini Ah Boy pernah melakukan jenayah bersama dua hingga tiga individu lain, namun sejak setahun lalu, dia bertindak sendirian.
Ah Boy terlibat dalam beberapa siri jenayah sebelum kematiannya. Pada 8 Februari lalu, dia dipercayai melakukan jenayah di sebuah pusat beli-belah di Setia Alam sebelum melarikan diri ke Melaka dan menetap di sana selama lima hari.
Dia kemudian bersembunyi di Banting selama dua hari sebelum dikesan di Sabak Bernam.
Di Sabak Bernam, suspek melakukan pecah rumah dan mencuri sebuah motosikal sebelum melarikan diri ke Pulau Ketam, di mana dia akhirnya ditembak mati oleh polis.
Hussein menjelaskan bahawa Ah Boy memiliki dua senjata api secara haram, selain terlibat dalam penyalahgunaan dadah jenis syabu yang dipercayai memberi kesan kepada kelakuannya.
“Penggunaan dadah ini memberi kesan mendalam hingga menyebabkan dia berkelakuan sedemikian, termasuk memiliki senjata secara haram dan berpotensi melepaskan tembakan pada bila-bila masa,” katanya.
Hussein turut mengesahkan bahawa proses bedah siasat ke atas mayat Ah Boy telah selesai dan punca kematiannya adalah akibat tembakan.
“Post-mortem selesai petang semalam dan kematian disebabkan kesan tembakan. Jumlah tembakan masih dalam siasatan kerana ia akan dibawa ke mahkamah nanti,” katanya.
Polis turut mendedahkan bahawa suspek memiliki dua jenis senjata api, iaitu pistol SIG Sauer dan Retay. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti sumber senjata tersebut.
Rekod jenayah menunjukkan bahawa kali terakhir Ah Boy dibebaskan dari penjara adalah pada tahun 2019 selepas disabitkan dengan dua kesalahan jenayah daripada sembilan rekod lampau.
“Dia pernah masuk penjara dua kali dan kali terakhir dibebaskan pada 2019,” tambah Hussein.