Agong Titah Ujian Saringan COVID-19 Di PPS, Elak Kluster Baru

KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) bagi memastikan tiada kluster baharu tercetus

Titah Seri Paduka, ujian itu bagi membolehkan mereka yang didapati positif COVID-19, diasingkan daripada mangsa banjir lain.

Malah semua pihak yang berada di PPS juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan kerana penularan COVID-19 masih berlaku.

“Ini (ujian saringan COVID-19) perlu dijadikan keutamaan kerana tidak mahu PPS menjadi kluster. Sila ambil perhatian pada siapa yang bertanggungjawab untuk mengambil tindakan sewajarnya kerana perkara ini tidak boleh dikompromi,” titah baginda ketika menyantuni 225 mangsa banjir di PPS Wisma Belia, di Kuantan, hari ini.

Turut berkenan berangkat menyantuni mangsa banjir itu ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, bersama dua anakanda baginda, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, dan Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Terdahulu, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah yang memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda ke PPS itu disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, dan Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak.

Seri Paduka juga menitahkan pihak terbabit operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa banjir sama ada yang berada di PPS atau tidak.

“Untuk semua terutama yang berada di pedalaman, jika harus berpindah ikutlah arahan. Nasihatkan juga anak-anak jangan bermain air supaya tidak berlaku kejadian tidak diingini,” titah baginda.

Dalam masa yang sama, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan simpati kepada mangsa banjir, sekali gus mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk di Malaysia segera berakhir.

BBerkaitan

Latest articles