Agong Titah Rakyat Terus Patuh SOP, Bendung Jangkitan Varian Omicron

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya rakyat sentiasa berjaga-jaga dan tidak alpa ketika menjalankan aktiviti harian, susulan penularan COVID-19 daripada varian Omicron, sejak kebelakangan ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah menzahirkan kegusaran terhadap pen

ularan varian baharu itu yang kini mula merebak di kebanyakan negara seluruh dunia.

Untuk rekod, sehingga kini, belum ada kes membabitkan varian Omicron dilaporkan di negara ini.

Katanya, ekoran daripada perkembangan terkini itu, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat agar terus istiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti yang ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka menzahirkan kebimbangan susulan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang mengkategorikan varian Omicron sebagai Variant of Concern yang diklasifikasikan lebih berbahaya dan cepat merebak berbanding varian-varian terdahulu. 

“Menurut WHO, varian Omicron juga berkemungkinan mempunyai risiko lebih tinggi untuk jangkitan semula (re-infection) berbanding varian-varian lain. Selain itu, mutasi dalam varian Omicron berpotensi mengurangkan keberkesanan vaksin.

“Ekoran daripada perkembangan terkini ini, Seri Paduka menasihati seluruh rakyat terus beristiqamah dalam kawalan kendiri dan berdisiplin dalam mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan.

“Seri Paduka turut menasihati rakyat supaya melengkapkan suntikan dos vaksin COVID-19 dan juga mendapatkan dos penggalak bagi melindungi dan memelihara kesihatan serta keselamatan diri, ahli-ahli keluarga tersayang dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malah, Yang di-Pertuan Agong menzahirkan harapan supaya rakyat melaksanakan tanggungjawab sosial dengan segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan jika bergejala serta mengasingkan diri jika disahkan positif atau ditakrifkan sebagai kontak rapat sekali pun tidak bergejala.

Katanya, Seri Paduka berpandangan segala pengorbanan dan usaha-usaha bersama pihak berkuasa serta petugas barisan hadapan selama ini dalam memerangi COVID-19 akan menjadi sia-sia sekiranya negara menghadapi ancaman gelombang baharu penularan wabak itu.

“Sehubungan itu, Seri Paduka menzahirkan sokongan penuh terhadap tindakan tegas kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara dalam mempertingkatkan langkah-langkah pencegahan, kawalan sempadan dan survelan COVID-19 bagi pengembara yang tiba di pintu masuk negara terutama dari negara yang melaporkan kes varian Omicron.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan terhadap langkah-langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan di hospital dan klinik kerana dijangka bilangan kes harian COVID-19 meningkat sekiranya varian ini menembusi kawalan sempadan dan menular dalam negara,” katanya.

Bagaimanapun, Seri Paduka menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama dan komitmen tinggi antara rakyat dan kerajaan, penularan jangkitan COVID-19 khususnya varian Omicron, dapat dikekang demi keselamatan diri serta kesejahteraan negara yang dicintai ini.

“Seri Paduka mengajak rakyat untuk bersama mendoakan agar rakyat Malaysia dan negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah dijauhi daripada sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” jelas beliau.

BBerkaitan

Latest articles