KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan penghargaan terhadap Malaysia sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan sidang-sidang berkaitan, sambil menyeru kerjasama serantau terus diperkukuh dalam menghadapi cabaran global yang semakin kompleks.
Baginda bertitah, sidang kemuncak ini hadir pada waktu yang amat penting ketika dunia berdepan pelbagai ketidaktentuan.
“Sidang kemuncak ini berlangsung ketika dunia semakin mencabar. Harapan saya, ASEAN dan rakan-rakannya kekal bersatu serta saling menghormati demi membina masa depan yang inklusif, berdaya tahan dan berpandangan jauh,” titah Seri Paduka dalam Majlis Santapan Tengah Hari Diraja di Istana Negara hari ini.
Sultan Ibrahim turut mengalu-alukan kehadiran para pemimpin ASEAN serta delegasi dari Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China, selain menekankan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan serantau dan antara wilayah.
“Saya berharap semua perwakilan dapat mencapai keputusan yang berjaya dalam perbincangan dan semoga lawatan ini mengeratkan lagi kerjasama yang menyatukan kita,” titah baginda dalam hantaran di laman Facebook rasmi.
Majlis Santapan itu turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan para pemimpin utama ASEAN termasuk Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet; Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh.
Malaysia menjadi hos Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung selama dua hari sejak semalam, mempertemukan pemimpin serantau dalam usaha memperkukuh integrasi, kerjasama ekonomi dan kestabilan geopolitik.