KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa sebarang isu berkaitan agama tidak boleh dijadikan bahan politik sehingga menjejaskan keharmonian dan kestabilan negara yang berbilang kaum.
Seri Paduka Baginda bertitah, Malaysia dibina atas asas perpaduan dan toleransi, justeru semua pihak wajib menghormati undang-undang termasuk dalam hal melibatkan penggunaan tanah serta pembinaan rumah ibadat.
Menurut Baginda, kekuatan negara terletak pada semangat saling menghormati antara rakyat pelbagai agama dan budaya, selain pematuhan terhadap peraturan yang telah ditetapkan.
“Setiap rakyat bertanggungjawab memelihara nilai keharmonian dan toleransi demi kepentingan bersama,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Mengulas isu pembinaan kuil yang hangat diperkatakan, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa ia perlu ditangani melalui saluran dan prosedur undang-undang yang sama seperti pembinaan masjid, gereja mahupun tokong.
Baginda turut mengimbas pengalaman pada Januari 2018 ketika menyelesaikan isu perobohan sebuah kuil di Johor secara berhemah dan berpaksikan undang-undang.
“Saya sendiri menyelesaikan perkara tersebut secara baik dan menasihatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelakkan sebarang insiden yang boleh menggugat ketenteraman awam,” titah Baginda.
Seri Paduka Baginda turut menekankan bahawa Islam mengajar umatnya supaya saling hormat-menghormati dan tidak menghalang penganut agama lain daripada mengamalkan kepercayaan serta ibadat masing-masing.
Dalam masa sama, Baginda mengingatkan bahawa penganut agama lain juga perlu menunjukkan rasa hormat terhadap Islam.
Pendekatan dua hala yang berteraskan saling menghormati itu penting bagi mengelakkan salah faham, provokasi dan ketegangan antara masyarakat.
“Oleh itu, jika timbul isu berkaitan pembinaan kuil atau mana-mana rumah ibadat, semua pihak hendaklah memahami dan menghormati undang-undang negara serta menyelesaikan perbezaan melalui saluran yang sah,” titah Baginda lagi.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima menghadap Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang di Istana Negara.
Baginda turut mengingatkan agar semua pihak mengelakkan kenyataan atau tindakan yang boleh mencetuskan perpecahan serta menggugat keamanan negara.










