Agong Tandatangani Akta Antibuli 2026, Tribunal Khas Ditubuh Lindungi Mangsa

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 dalam satu istiadat di Istana Bukit Tunku, hari ini.

Perkara itu dikongsikan menerusi hantaran rasmi di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Akta berkenaan digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada 3 Disember 2025 dengan tujuan mewujudkan satu mekanisme khusus bagi menangani kes buli, merangkumi semua kategori mangsa seperti yang diperuntukkan dalam akta tersebut.

Ia bertujuan memberi perlindungan lebih menyeluruh serta memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap perbuatan buli di pelbagai peringkat.

Di bawah pelaksanaan akta ini, beberapa kementerian diberi kuasa mengurus dan menyelia kes buli mengikut bidang kuasa masing-masing, termasuk Kementerian Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (Mara), Kementerian Pertahanan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Dalam Negeri. Ini meliputi institusi pendidikan dan institusi lain yang berada di bawah tanggungjawab kementerian berkenaan.

Selain itu, sebuah Tribunal Antibuli akan ditubuhkan sebagai badan kuasi-kehakiman khas untuk menerima, mendengar dan memutuskan aduan buli yang dikemukakan oleh mangsa.

Tribunal ini juga diberi kuasa mengeluarkan perintah sewajarnya termasuk pampasan, sebagai langkah memastikan keadilan dan pembelaan kepada mangsa buli dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.

BBerkaitan

Latest articles