KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Tahun Baharu Cina kepada seluruh rakyat Malaysia yang meraikan perayaan tersebut.
Menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini, Seri Paduka Baginda bertitah agar perayaan Tahun Baharu Cina membawa kemakmuran dan kebahagiaan kepada mereka yang menyambutnya.
“Semoga sambutan Tahun Baharu Cina ini dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum, agama, dan bangsa di negara ini,” titah Baginda.
Mengikut kalendar lunar, sambutan Tahun Baharu Cina esok menandakan permulaan Tahun Ular Kayu yang membawa harapan baharu, semangat persaudaraan, kejayaan, dan pembaharuan.