KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan para pemimpin masyarakat supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain.
“Gunakanlah akal sebelum buat sebarang keputusan. Tidak ada hadiah yang lebih istimewa buat diri saya, selain daripada rakyat yang bersatu-padu.
“Saya pernah sebutkan dulu, ada satu virus yang akan melanda negara kita. Sekarang kita nampak virus ini telah mula menular dan tidak boleh diubati. Saya sering bercakap mengingatkan perkara ini supaya kita tidak mudah lupa,” titah Seri Paduka Baginda.
Sultan Ibrahim bertitah ketika Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi tahun 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara, hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah.
Hadir pada istiadat itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta barisan Menteri Kabinet.
Sultan Ibrahim turut menyeru kepada seluruh rakyat jelata supaya terus memperkukuh perpaduan untuk diberikan sebagai hadiah kepada Seri Paduka Baginda.
Pada masa sama, Sultan Ibrahim turut memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda akan mengadakan Kembara Diraja ke seluruh Wilayah Persekutuan, bagi melihat sendiri kehidupan rakyat serta mengagihkan duit zakat kepada golongan miskin dan asnaf yang lapan. – BERNAMA