KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi peringatan keras kepada semua Ahli Parlimen supaya kembali berpegang kepada niat asal pembentukan Malaysia seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), dan tidak bermain api dengan sentimen wilayah hingga mencetuskan perpecahan.
Titah baginda, MA63 diwujudkan untuk menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara yang berpaksikan perpaduan, bukan medan pertelingkahan politik.
“Kita mesti kembali kepada asas pembentukan Malaysia iaitu perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara negeri serta kerajaan Persekutuan,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan sidang Dewan Rakyat bagi tahun ini.
Sultan Ibrahim menegaskan, sebarang perbezaan pandangan perlu diselesaikan secara matang dan berhemah, bukannya melalui kebencian, hasutan atau permainan emosi yang merosakkan keharmonian negara.
Baginda mengingatkan bahawa hak negeri-negeri wajib dihormati, namun dalam masa yang sama, kepentingan Malaysia sebagai sebuah negara mesti sentiasa diutamakan melebihi kepentingan sempit mana-mana pihak.
“Setiap perbahasan, keputusan dan undian di Dewan Rakyat akan menentukan hala tuju negara. Ini bukan perkara kecil,” titah baginda lagi.
Sehubungan itu, baginda menggesa semua wakil rakyat menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab, kebijaksanaan dan kejujuran demi kepentingan seluruh rakyat, bukan untuk kepentingan politik sementara.
Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan perpaduan telah menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 bagi menyelesaikan isu-isu tertunggak berkaitan perjanjian tersebut.
Bulan lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memaklumkan sebanyak 19 perkara telah dipersetujui, termasuk penyerahan Sabah Electricity Sdn Bhd kepada kerajaan negeri.
Putrajaya juga kini sedang meneliti semula tuntutan Sabah terhadap 40 peratus hasil Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu, antara beberapa isu besar yang masih dalam rundingan.










