JEDDAH: Seramai 42 jemaah umrah warga Malaysia dilaporkan terkandas di Jeddah sejak 25 Julai lalu selepas didakwa menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan tempatan yang dipercayai memalsukan dokumen tiket penerbangan pulang mereka ke tanah air.
Kumpulan jemaah yang terdiri daripada warga emas dan penjawat awam itu sepatutnya berlepas pulang selepas selesai menjalani ibadah umrah dan lawatan ke Taif.
Namun, mereka terkejut apabila dimaklumkan bahawa tiket penerbangan mereka tidak pernah wujud, walaupun telah membuat bayaran penuh kepada syarikat pengendali, Persada Global Holidays (PGH).
Menurut salah seorang jemaah yang enggan dikenali, mereka diminta untuk membuat bayaran tambahan sebanyak RM2,300 seorang pada saat akhir, kononnya untuk pembelian tiket penerbangan baharu kerana pihak syarikat “kehabisan dana”.
“Kami telah bayar antara RM9,000 hingga RM12,000 seorang. Malah ada keluarga yang sudah bayar hingga RM90,000 untuk ahli yang akhirnya tidak dapat pergi, tetapi wang mereka juga tidak dipulangkan,” katanya kepada media.
Lebih menyedihkan, jemaah turut mendakwa mereka tidak menerima kemudahan seperti dijanjikan, termasuk pakej tren laju Haramain dari Madinah ke Makkah.
Sebaliknya, mereka dibawa menaiki bas, dan penginapan lima bintang di Taif juga dikatakan tidak menepati piawaian.
Kini, mereka terpaksa berpindah dari satu hotel ke hotel lain di sekitar Jeddah menggunakan dana yang ditanggung oleh mutawif yang mengetuai kumpulan itu, PU Abu Sufiyan, yang juga bekas peserta program realiti Pencetus Ummah 2015.
PU Abu memaklumkan bahawa pihaknya telah menghubungi Kedutaan Malaysia di Jeddah dan sedang meneliti tindakan undang-undang terhadap PGH, termasuk isu tunggakan gaji mutawif yang turut belum dilunaskan.
Insiden ini dipercayai berpunca daripada beberapa siri penangguhan jadual umrah sejak bulan Syawal lalu, di mana tarikh penerbangan jemaah beberapa kali ditukar dari musim biasa ke musim haji, dan akhirnya ke musim selepas haji tanpa sebarang penjelasan munasabah dari pihak syarikat.
“Kami benar-benar teraniaya. Ada antara kami yang sudah kehabisan wang, dan tidak tahu bila boleh pulang ke tanah air,” luah seorang jemaah warga emas.
Setakat ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak Persada Global Holidays.