KUALA LUMPUR: Badan Perhubungan UMNO Selangor tampil menafikan sekeping surat yang tular di media sosial, kononnya sebagai desakan kepada Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli meletak jawatan.
Surat bertarikh 22 Jun yang menggunakan kepala surat Badan Perhubungan UMNO Selangor ditujukan kepada presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
“Pihak Badan Perhubungan UMNO Selangor telah mengesahkan surat tersebut adalah palsu dan fitnah terhadap kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor,” demikian menurut kenyataan.
Menjelaskan hal itu lagi, UMNO Selangor menyifatkan tindakan yang dilakukan oleh pihak tertentu itu mempunyai agenda jahat untuk menjejaskan imej dan reputasi kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Selangor dan Kerajaan Perpaduan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Selangor tidak lama lagi.
Sedangkan mereka tegas dan komited bagi mengukuhkan kestabilan politik tanah air dan menyambut baik kerjasama di dalam Kerajaan Perpaduan ini, tambahnya.