KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) akan meneruskan permohonan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan perintah larangan bersuara (gag order) bagi menghalang orang ramai membincangkan isu berkaitan titah adendum.
Timbalan Ketua Bahagian Sivil AGC Shamsul Bolhassan ketika dihubungi BH berkata permohonan akan diteruskan sehingga ada arahan sebaliknya.
Pada 13 Januari lalu, peguam kanan persekutuan itu dilaporkan berkata, pihaknya akan memfailkan permohonan perintah larangan bersuara terbabit pada 20 Januari ini.
Katanya permohonan itu bagi melindungi institusi diraja memandangkan perkara berkenaan menyentuh isu sensitif iaitu raja, agama dan kaum (3R).
Semalam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil berkata kerajaan tidak pernah mengarahkan AGC memfailkan permohonan itu.
Fahmi berkata perkara itu juga tidak dibangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof semalam.
Pada 6 Jan lalu, Najib mendapat kebenaran memulakan prosiding semakan kehakiman bagi perintah memaksa kerajaan atau enam pihak lain menjawab atau mengesahkan kewujudan titah adendum Januari 2024.
Titah adendum itu dikatakan diperkenan Yang di-Pertuan Agong terdahulu, Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah atas kesalahan penyelewengan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Keputusan itu dicapai melalui penghakiman majoriti 2-1 oleh Hakim Mahkamah Rayuan Azhahari Kamal Ramli dan Mohd Firuz Jaffril, dengan Azizah Nawawi membuat keputusan berbeza.
Justeru, mahkamah memerintahkan kes semakan kehakiman itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi supaya merit semakan didengar dan diputuskan.