AGC Tahu Mengenai Titah Adendum, Bukti Diserahkan Terus

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada semalam diberitahu bahawa Pejabat Peguam Negara (AGC) mempunyai segala peluang untuk mengesahkan kewujudan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang didakwa membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berhujah, ini kerana titah berkenaan dialamatkan terus kepada Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh, yang ketika itu Peguam Negara, sekali gus membuktikan agensi itu mengetahui mengenai dokumen tersebut.

“Selain itu, dokumen itu juga dilihat oleh beberapa pihak tertentu yang menguatkan lagi bukti kewujudannya,” katanya di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim.

Menurut Shafee, titah adendum itu juga berbeza dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang hanya memberi pengurangan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta bagi kes SRC International.

Beliau berkata, ketika prosiding di Mahkamah Rayuan sebelum ini, Peguam Negara tidak pun mempertikaikan kewujudan dokumen itu.

Malah, Peguam Negara turut memohon lanjutan masa untuk membalas afidavit Najib melalui surat bertarikh 13 Disember 2024.

Justeru, katanya keputusan majoriti 2-1 Mahkamah Rayuan sebelum ini adalah tepat apabila memerintahkan semakan kehakiman Najib itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan semula di hadapan hakim lain.

Dalam prosiding yang sama, Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan Peguam Negara yang mahu mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu, termasuk dengan mengemukakan tujuh persoalan undang-undang berkepentingan awam.

Panel sama juga mendengar rayuan berhubung keputusan membenarkan Najib mengemukakan keterangan baharu, termasuk afidavit anaknya yang menyertakan salinan titah adendum diperoleh daripada Pejabat Sultan Pahang.

Kes bersambung pada 9 Julai ini.

BBerkaitan

Latest articles