KOTA BHARU: Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menolak kemungkinan untuk menyediakan perlindungan kepada saksi sepanjang prosiding inkues kematian pelajar, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, jika keadaan memerlukan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini belum ada keperluan segera, namun pihaknya sedang meneliti perkara itu secara menyeluruh.
“Buat masa ini, kita lihat dahulu perjalanan prosiding inkues. Jika timbul keadaan yang memerlukan perlindungan saksi, tindakan sewajarnya akan diambil,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Sekolah Angkat Malaysia MADANI Jabatan Peguam Negara di Sekolah Kebangsaan Long Gaffar, di sini, hari ini.
Isu perlindungan saksi timbul selepas Dr Jessie Hiu, pakar patologi forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), membuat laporan polis berhubung ugutan diterimanya dipercayai susulan keterangannya dalam prosiding inkues yang berlangsung selama dua hari bermula 3 September lalu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda, mengesahkan laporan tersebut.
Dalam keterangannya, Dr Jessie menolak kemungkinan Zara Qairina ditolak atau diserang hingga terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya, sebaliknya hasil bedah siasat menunjukkan kecederaan konsisten dengan bukti lain yang dikemukakan.
Pelajar Tingkatan Satu itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia.
Mengulas mengenai kemungkinan prosiding inkues dijalankan secara tertutup demi keselamatan saksi, Mohd Dusuki berkata perkara itu juga masih dipertimbang.
“Masih terlalu awal untuk kita tentukan. Yang penting, biar proses keadilan berjalan dengan baik supaya kebenaran dapat dicapai untuk semua pihak,” katanya.