KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan.
Sabitan dan hukuman itu adalah berhubung kesalahan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Semalam di Mahkamah Rayuan di Putrajaya, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin yang sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Bagaimanapun, AGC dalam kenyataannya, berkata, selepas meneliti dan menimbangkan keputusan Mahkamah Rayuan, jabatan itu menfailkan notis rayuan hari ini bagi merayu keputusan pelepasan dan pembebasan berkenaan.
“Jabatan ini ingin menegaskan bahawa proses rayuan ini adalah sebahagian daripada sistem kehakiman yang membenarkan semakan terhadap keputusan mahkamah yang lebih rendah.
“la adalah amalan biasa dalam proses perundangan negara dan tidak mencerminkan sebarang prejudis terhadap mana-mana pihak.
“Pemfailan rayuan ini bertujuan memastikan isu perundangan yang timbul daripada keputusan Mahkamah Rayuan dapat diteliti dan diputuskan secara muktamad oleh Mahkamah Persekutuan, selaras dengan prinsip keadilan dan tadbir urus undang-undang yang telus,” kata jabatan itu.
Noorin yang membacakan penghakiman Mahkamah Rayuan semalam, berkata mahkamah itu mendapati pendakwaan gagal membuktikan pertuduhan bersubahat melakukan pecah amanah mengikut Seksyen 406 terhadap Syed Saddiq selaku perayu.
Beliau berkata, panel juga mendapati pendakwaan gagal mengemukakan bukti dan fakta yang boleh dipercayai bagi menyokong pertuduhan di bawah Seksyen 403 (menyalahgunakan harta).
“Kami juga mendapati bahawa pertuduhan mengikut Akta Pengubahan Wang Haram tidak dapat dikekalkan. Oleh itu, perayu dibebaskan dan dilepaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.
Syed Saddiq yang juga bekas Presiden MUDA merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 November 2023 yang mensabitkan dan menjatuhkan hukuman itu terhadapnya, selepas mendapati beliau gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kesemua pertuduhan terbabit.