Parti anak muda yang ingin diasaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka tidak akan berjaya.
Itu reaksi pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad ketika mengulas hasrat bekas ketua Armada Bersatu itu dengan mendakwa ia sebagai tidak sesuai.
“Saya sebenarnya tidak tahu mengapa dia mahu menubuhkan parti baru.
“Di mana-mana kawasan, mesti kena ada orang tua dan orang muda. Kami akan pergi kepada golongan muda juga.
“Kalau dia (Syed Saddiq) hanya pergi kepada orang muda, agak sukar untuknya berjaya. Tapi ini adalah negara bebas, dia mahu lakukan dengan sendiri.
“Dia pernah menjadi penyokong kuat Pakatan Harapan (PH) dan kini dia rasa perlu bergerak berasingan daripada kami,” katanya dalam sidang medianya di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.
Syed Saddiq, yang juga bekas menteri belia dan suka memilih haluan berbeza daripada lima ahli Bersatu yang dipecat keahliannya dengan menubuhkan sebuah parti yang menyasarkan generasu muda.
Sementara itu, Dr Mahathir membidas kenyataan Pensyarah Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr R Sivaperegasam Rajanthiran bahawa penubuhan parti Pejuang hanya untuk jadikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai perdana menteri.
Bekas perdana menteri itu kemudiannya menambah adalah tidak adil untuk menafikan hak Mukhriz untuk menyertai mana-mana parti politik.
“Saya nak jelaskan, masa saya jadi perdana menteri, saya tak bagi anak saya masuk parti pun, tak boleh terlibat dengan politik, tak boleh meniaga dalam Malaysia.
“Sekarang saya tak jadi perdana menteri, saya nak kata…nak jaga nama baik saya awak janganlah masuk politik. Saya fikir tak adillah. Anak saya pun manusia juga, rakyat negara ini.
“Kalau dia nak buat dan kalau dia nak masuk tak akan saya nak kata sampai saya mati nanti baru boleh (masuk politik), susahlah,” ujarnya.
Dr Mahathir juga meluahkan rasa hairan mengapa dirinya dan Mukhriz menjadi sasaran sedangkan ada ramai lagi anak beranak yang menyertai politik negara.
Terdahulu Sivaperegasam, menerusi Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di Kuala Lumpur kelmarin mendakwa penubuhan Pejuang ada kaitan dengan usaha Mahathir untuk menaikkan anaknya sebagai perdana menteri.