AEON-Tourism Malaysia Jalin Kerjasama Meriahkan Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026

SHAH ALAM: AEON CO. (M) BHD. (AEON) mengumumkan kolaborasi strategik bersama Tourism Malaysia bagi menyokong dan memeriahkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) menerusi pelbagai inisiatif promosi, aktiviti interaktif serta tawaran eksklusif di pusat beli-belah AEON seluruh negara.

Kerjasama itu dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Yang Berhormat Tuan Chiew Choon Man dalam satu majlis khas yang berlangsung di AEON Mall Shah Alam.

Pada majlis sama, AEON turut memperkenalkan barangan edisi terhad berupa beg ‘tote’ dan ‘headband’ hasil kolaborasi AEON Mall x TMM 2026.

Pengunjung berpeluang menebus barangan eksklusif tersebut dengan perbelanjaan minimum RM350 melalui gabungan sehingga tiga resit pembelian di AEON.

Sebagai sebahagian daripada kempen, AEON akan menampilkan maskot rasmi TMM 2026, Wira dan Manja, sebagai hiasan utama di pusat beli-belah AEON di seluruh negara.

Selain itu, video promosi destinasi pelancongan Malaysia akan dipaparkan menerusi skrin LED AEON bagi memperkenalkan keunikan dan kepelbagaian tarikan tempatan kepada pelancong domestik dan antarabangsa.

AEON juga akan bekerjasama dengan pelbagai pemain industri termasuk hotel, ejen pelancongan, syarikat penerbangan serta rakan runcit lain bagi memperluaskan promosi kempen TMM 2026 melalui ekosistem AEON.

Sepanjang tempoh kempen, pelbagai program menarik bakal dianjurkan, antaranya Cerita Raya bersama Wira & Manja, AEON Carnival Bazaar yang menampilkan makanan tempatan, serta Tourism Malaysia Run di beberapa negeri terpilih.

Aktiviti interaktif dan barangan penebusan eksklusif turut dirancang bagi menyemarakkan lagi sambutan kempen tersebut.

Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin, berkata AEON Mall berbesar hati dapat bekerjasama dengan Tourism Malaysia dalam menyokong TMM 2026 sambil memperkukuh peranan pusat beli-belah sebagai ruang interaksi dan gaya hidup masyarakat.

“Kolaborasi ini selari dengan usaha kami menjadikan AEON Mall sebagai destinasi gaya hidup, bukan sekadar lokasi membeli-belah, di samping menyokong agenda nasional pelancongan,” katanya.

Sebelum ini, AEON Mall turut bekerjasama dengan Tourism Malaysia menerusi program AEON Mall Shopping Tour di Johor yang berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dari Singapura untuk berkunjung dan membeli-belah di beberapa AEON Mall sekitar Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Chiew Choon Man berkata kerjasama strategik sektor swasta seperti ini memainkan peranan penting dalam menjayakan Tahun Melawat Malaysia 2026, selain memberi kesan limpahan ekonomi kepada sektor peruncitan, hospitaliti dan perkhidmatan.

“Kolaborasi ini bukan sahaja merancakkan pelancongan, malah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi mampan serta meningkatkan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan,” katanya.

Pada majlis tersebut, AEON turut mengumumkan barisan rakan strategik yang akan terlibat dalam promosi sempena Tahun Baru Cina dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

Maklumat lanjut mengenai aktiviti dan promosi akan dikongsikan menerusi platform rasmi AEON Mall di laman web www.aeonmallmy.com, Facebook AEON Mall dan Instagram aeonmallmalaysia.

BBerkaitan

Latest articles