AMANAH mengecam tindakan PKR menerima penyertaan ahli baru daripada rakan komponen sendiri yang didakwanya bertentangan dengan semangat setiakawan.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub turut berkata parti rakan di dalam Pakatan Harapqn (PH) sepatutnya saling hormat-menghormati di antara satu sama lain.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) AMANAH yang bertindak menyertai PKR.
“Memahami semangat setiakawan dalam PH, sepatutnya tidak manis mana-mana parti dalam komponen PH menerima mana-mana ahli parti rakan.
“Saya rasa semangat in adalah disepakati dalam mana-mana parti yang membentuk pakatan atau gabungan,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.
Tiga ADUN AMANAH yang dimaksudkan itu adalah Khairuddin A Rahim (Senggarang), Faizul Amri Adnan (Serom) dan Muhamad Said Jonit (Mahkota).
Sebelum ini dua ADUN Selangor daripada AMANAH turut bertindak keluar parti dan menyokong PKR atas alasan hala tuju parti yang kucar-kacir dalam menentukan sokongan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim atau Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dalam pilihan raya akan datang.