ADUN Jeram Padang Nafi Dakwaan Projek Naik Taraf Tidak Beri Manfaat Kepada Rakyat

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir menafikan dakwaan di media sosial bahawa projek naik taraf bernilai RM200,000 yang diluluskan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di kawasannya tidak memberi manfaat kepada rakyat.

Mohd Zaidy berkata, dakwaan tersebut timbul susulan kerosakan beberapa peralatan taman permainan, namun jelasnya, penggantian atau penukaran peralatan berkenaan tidak termasuk dalam skop projek yang diluluskan KPKT.

“Memang terdapat peralatan taman permainan yang rosak dan benar peruntukan projek berjumlah RM200,000.

“Namun, skop projek tersebut tidak melibatkan penggantian atau penukaran peralatan taman permainan kerana ia tidak termasuk dalam kelulusan KPKT,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sebarang pengesahan berkaitan skop dan perincian projek boleh dirujuk kepada pegawai teknikal KPKT, sambil menegaskan bahawa tuduhan yang dibuat tanpa merujuk fakta sebenar hanya mengelirukan orang ramai.

Menurutnya, permohonan peruntukan khusus bagi kerja-kerja baik pulih dan penggantian peralatan taman permainan akan dikemukakan kepada agensi berkaitan bagi memastikan kemudahan awam tersebut berada dalam keadaan selamat dan berfungsi dengan baik.

Dalam perkembangan sama, Mohd Zaidy berkata Ahli Majlis Perbandaran Jempol telah mengadakan sidang media bagi menjelaskan kedudukan sebenar projek berkenaan serta menafikan dakwaan yang tular di media sosial.

Beliau turut menasihatkan pihak yang ingin menyuarakan pandangan agar berbuat demikian secara bertanggungjawab dan berlandaskan fakta, serta menyumbang secara konstruktif kepada kebajikan rakyat setempat.

BBerkaitan

Latest articles