Ada Syarat Utama Sebelum Kerajaan Ikut Kehendak Pengiktirafan UEC

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak pernah menghalang pelaksanaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sejak hampir lima dekad lalu, namun pengiktirafannya hanya boleh dipertimbangkan jika sistem itu diselaraskan dengan aspirasi pendidikan negara dan menggunakan bahasa kebangsaan sebagai medium utama.

Demikian tegas Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyifatkan isu sebenar bukanlah soal pelaksanaan UEC, tetapi pengiktirafan rasmi oleh kerajaan sebagai sebuah negara berdaulat.

Menurut beliau, setiap sistem pendidikan yang ingin disetarakan dengan kelayakan nasional perlu memenuhi misi dan nilai yang membina identiti kebangsaan.

“Kerajaan tidak ada masalah untuk mengiktiraf, asalkan ia digubal menepati aspirasi nasional dan dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Tok Mat menegaskan kerajaan sentiasa meraikan kepelbagaian pendidikan, namun syarat penyetaraan tetap perlu dipatuhi.

Isu UEC kembali hangat selepas Timbalan Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menyatakan hasrat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membincangkan tuntutan pengiktirafan sijil tersebut.

Tindakan itu mencetuskan bantahan Pemuda UMNO yang menegaskan perkara itu tidak boleh dikompromi.

Mengulas polemik tersebut, Mohamad mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan pendidikan kerana ia adalah asas dalam membentuk identiti nasional dan perpaduan.

Beliau menambah, rakyat bebas memilih sistem pendidikan termasuk UEC, namun kerajaan tidak boleh dipaksa untuk mengiktiraf sesuatu yang tidak digubal berdasarkan roh pendidikan kebangsaan.

Selagi UEC tidak direformasi agar selari dengan aspirasi negara, jelasnya, ia kekal sebagai sistem alternatif yang tidak setara untuk dijadikan kelayakan arus perdana.

BBerkaitan

Latest articles