Ada Pihak Sengaja Sebar Kebencian Sunting Foto Wan Azizah, Sara Netanyahu

KUALA LUMPUR: Wanita Keadilan Pulau Pinang mengecam tindakan sesetengah pihak yang sengaja menggunakan foto Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail untuk menggambarkan isteri Perdana Menteri itu mempunyai hubungan akrab dengan isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.

Ketuanya, Nurhidayah Che Rose menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana sengaja menjadikan perbuatan tidak berperikemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin sebagai permainan politik pihak tersebut.

“Kami percaya ia merupakan satu daripada cara untuk menyebarkan kebencian dan anasir politik murahan kepada rakyat Malaysia yang kini turut terkesan dengan perbuatan gila Israel terhadap saudara-mara kita di Palestin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, ada pihak memuat naik dan berkongsi gambar dan video Wan Azizah yang disunting daripada Instagram milik Perdana Menteri Israel semasa hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78 di New York, Amerika Syarikat pada 21 Sept lepas.

Nurhidayah berkata sebagai penjelasan, walaupun Malaysia tidak pernah mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara berdaulat, Wan Azizah telah menghadiri satu sesi perjumpaan isteri-isteri pemimpin dari setiap negara bersempena dengan UNGA itu.

“Siapa sangka, sedang saudara-mara dan anak-anak di Palestin dibunuh dan ditindas dengan kejam, ada pihak di negara Islam ini tergamak mempolitikkan keadaan itu demi memuaskan dendam serakah politik yang melampau,” katanya.

Beliau berkata Wanita Keadilan Pulau Pinang menyeru agar seluruh rakyat Malaysia bersatu hati tanpa mengira latar belakang dan fahaman politik untuk terus bersama-sama memperjuangkan nasib rakyat Palestin atas nama kemanusiaan.

“Janganlah kita menjatuhkan maruah agama dan bangsa hanya untuk memenangkan anasir politik murahan,” katanya.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak.

BBerkaitan

Latest articles