Ada Menteri Yang Tak Tahu Buat Kerja, Kabinet Perlu Dirombak Sepenuhnya – Tun M

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa ada sebilangan menteri dalam Kerajaan Perpaduan seolah-olah tidak tahu cara untuk mentadbir negara.

Bahkan bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa ada juga menteri tertentu yang takut untuk berjumpa dengan pelabur yang sedia untuk membuat pelaburan di negara ini.

“Sebab itu dalam akhbar hari ini diceritakan bahawa (Datuk Seri) Anwar akan bubar Kabinetnya dan akan pilih Kabinet baharu.

“Komen dalam akhbar ialah pilihlah menteri yang hebat. Bermakna dia (akhbar) mengaku menteri yang ada sekarang ini tidak hebat. Bermakna menteri yang ada sekarang ini tidak mampu jadi menteri. Sebab itu kesalahan berlaku.

“Kita dapati umpamanya ada permintaan untuk pelaburan, menteri tidak pun hendak berjumpa dengan pelabur walaupun pelabur nak melabur setengah juta ringgit, dia tak jumpa kerana dia tidak tahu apa hendak cakap kerana dia tidak hebat,” kata Mahathir yang ditemui pemberita selepas selesai berdialog dalam siri ketiga Minggu Negarawan, hari ini.

Sehubungan itu Dr Mahathir beranggapan Anwar perlu melakukan rombakan kabinet secara sepenuhnya supaya negara dapat diterajui dengan baik.

“Seluruh Kabinet perlu dirombak. Mereka perlu tunjuk kebolehan. (Siapa yang tidak boleh buat kerja?) Saya tak berani cakap,” kata Mahathir.

Khabar angin bertiup kononnya Perdana Menteri akan membuat rombakan Kabinet yang dijangka akan berlaku selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai di Pahang pada 7 Oktober depan

Turut disebut Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan dilantik semula sebagai Menteri Dalam Negeri menggantikan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menjawab pertanyaan audien mengenai ura-ura Anwar mahu melantik Ahmad Zahid ke jawatan itu, Mahathir berkata, sejak awal Anwar sepatutnya tidak melantik Ahli Parlimen Bagan Datuk itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Anwar tidak boleh terima Ahmad Zahid sebagai ahli Kabinet pun dan jauh sekali untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri.

“Itu menafikan hak rakyat untuk melihat orang yang ‘bersih’ (bebas rasuah) menjadi kerajaan dan adalah jelas bahawa Ahmad Zahid bukan orang yang bersih,” katanya.

BBerkaitan

Latest articles