Ada Kartel Jual Beras Putih Tempatan Dengan Harga Beras Hancur

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendedahkan ada sesetengah pihak tidak bertanggungjawab telah ‘merompak’ subsidi dari kerajaan sehingga menjadi punca kekurangan beras putih tempatan dan menyukarkan rakyat.

Kartel berkenaan kemudiannya bertindak menjualnya pada harga beras hancur yang tidak dikawal sedangkan ia adalah beras tempatan yang sudah mendapat subsidi kerajaan.

“Disebabkan beras hancur boleh dijual dengan bukan harga kawalan, maka kartel-kartel beras ini telah menjual beras standard (tempatan) dengan harga beras hancur.

“Jika harga beras tempatan ditetapkan pada RM2.60 per kilogram (kg) tetapi kartel ini telah menjual dengan harga RM3.40/kg apabila menukarkan bil jualan mengikut harga beras hancur dan inilah antara pengkhianat yang menekan rakyat di bawah ini,” katanya menerusi perkongsian bukti pendedahannya itu melalui Facebook (FB) rasminya, malam tadi.

Akmal yang juga Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Kerajaan Negeri Melaka menjelaskan kerajaan telah memberi pelbagai subsidi untuk memastikan beras tempatan ini dijual dengan harga yang rendah, tetapi kumpulan itu telah mengkhianati rakyat di negara ini.

“Apakah solusinya? Penguatkuasaan yang ketat dan secara total perlu dilakukan! Lembaga padi & beras perlu diwujudkan semula.

“Jangan ingat kilang di luar melaka kita tidak ada maklumat.

“Nasib baik kilang ini di luar Melaka, jika dalam Melaka memang siaplah kena sita dan ini baru satu (kita) ada banyak lagi pendedahan akan dilakukan.

“Selagi mana ia adalah hak rakyat, selagi itu kita akan pertahankan dan lawan,” katanya sambil mencadangan supaya kerajaan mewujudkan semula Lembaga Padi dan Beras Negara untuk mengatasi masalah itu.

BBerkaitan

Latest articles