KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa wujud campur tangan ‘jerung besar’ yang didakwa mengatur penghasilan video berkaitan skandal rasuah di Sabah.
Menurutnya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin pernah memaklumkan bahawa rakaman tersebut dibuat atas arahan Perdana Menteri sendiri untuk membongkar penglibatan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri itu dalam kegiatan rasuah.
Albert berkata perjuangannya membongkar isu tersebut sejak November 2024 menimbulkan persoalan besar mengenai dalang sebenar di sebalik pembikinan video itu.
“Saya cuma rakyat biasa, bukan ahli politik. SPRM siasat saya tujuh hari. Adakah saya berani buat semua ini tanpa ‘jerung’ di belakang?” katanya selepas dibebaskan dengan jaminan.
Beliau turut memberikan tempoh tujuh hari kepada Perdana Menteri untuk menjelaskan sama ada benar wujud arahan rasmi bagi menghasilkan rakaman tersebut.
Albert juga mempersoalkan sama ada Perdana Menteri dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, turut disiasat atau diambil kenyataan dalam kes yang sama.
Mengulas mengenai serbuan SPRM ke kediamannya pada 28 November lalu, Albert mendakwa pasukan penguat kuasa bertindak secara kasar, memecah masuk tanpa menunjukkan waran atau kad kuasa.
“Mereka tendang pintu dan acukan pistol. Seolah-olah saya pengedar dadah. Mereka kata saya langgar notis, tapi saya tak nampak pun notis itu,” ujarnya.
Beliau turut berang apabila rakaman CCTV di rumahnya dipercayai dipadam semasa operasi tersebut, selain dekoder kamera turut dirampas.
Albert memberi amaran bahawa sekiranya peranti itu rosak atau datanya hilang, beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap SPRM “hingga ke lubang cacing”.










