KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menggunakan bantuan pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) dalam operasi menggeledah kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras, semalam.
Menurut kenyataan SPRM, tindakan itu diambil susulan maklumat risikan bahawa terdapat sebuah bilik rahsia di rumah terbabit yang dipercayai menyimpan pelbagai barangan mewah dan senjata api.
“Kehadiran pasukan ACTS bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita untuk dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya,” jelas SPRM.
Kediaman Tan Sri tersebut kini menjadi fokus utama siasatan kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Dalam serbuan itu, SPRM berjaya menyita pelbagai barangan mewah bernilai kira-kira RM16 juta, termasuk 84 beg tangan berjenama bernilai RM3 juta, 11 jam tangan mewah bernilai RM1 juta, jongkong, syiling dan patung emas bernilai RM3 juta, berlian dan barangan kemas bernilai RM4 juta dan satu set alatan kasino mewah dianggarkan RM150,000.
Turut ditemukan ialah sebuah bilik rahsia kebal yang menyimpan pelbagai senjata api dan peluru.
Namun, tiada sitaan dilakukan ke atas senjata terbabit kerana semuanya didaftarkan atas nama sebuah syarikat keselamatan milik Tan Sri berkenaan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan nilai keseluruhan barangan yang disita dalam operasi itu berjumlah kira-kira RM16 juta, dan tidak menolak kemungkinan terdapat lagi sitaan susulan selepas ini.
“Disebabkan faktor kesihatan individu tersebut, proses rakaman keterangan akan ditangguhkan ke satu tarikh lain,” katanya.
SPRM setakat ini telah mengambil keterangan lebih 50 individu dalam siasatan yang sedang berlangsung dan Tan Sri berkenaan dikenal pasti sebagai saksi utama dalam kes berprofil tinggi itu.